Ahad, September 13, 2009

Ku Berlari Ku Kejar Mimpi

Oleh si comot [Ana] Farhana.... Jam 1:18:00 PG
Kakinya melangkah perlahan melewati kaki lima kedai yang menjual aneka barangan. Orang ramai sekali. Kadang-kala dia terpaksa berhimpit-himpit di celah kesesakan manusia. Dia terus melangkah, sesekali ada keluhan halus terucap dari bibir mungilnya. Wajahnya makin lesu, beg yang disandang terasa begitu membebankan. Sesekali dia melempar pandangan ke jalan raya besar yang bertali arus dengan kenderaan. Sesekali kelihatan beberapa buah basikal turut menyibukkan lalu lintas. Dia senyum sendiri. Impiannya untuk menjejakkan kaki ke sebuah negara moden di Asia Timur akhirnya tercapai. Sayangnya, pengembaraan yang diangankan tidak seindah kenyataan.

Dia menggigit bibir bawah, terus mengheret langkah. Matanya melilau mencari arah tujuan. Ada terdetik rasa kesal tidak terus ke Nagoya. Di sana tentu lebih mudah bila ada sepupu yang sedia menanti dan menghulurkan bantuan dan penunjuk arah. Desakan hati untuk melihat bandaraya Tokyo terlalu kuat sehingga mengabaikan kemungkinan yang bakal berlaku. Dia mengeluh lagi. Dia memegang perut. Langit kelihatan mulai gelap. Dia berkira-kira untuk segera mencari tempat penginapan. Perut yang kosong memang perlu di alas, namun, apa yang lebih penting, solat musafir mesti segera dilaksanakan.



----------------------------------------------------------------------------------------------------

Kuburan ibu masih merah. Dia cuma mampu merenung tanpa air mata. Sungguh, dia sudah letih untuk meratap dan meraung. Luka yang begitu dalam terbentuk sudah terasa biasa. Kesakitannya tidak lagi begitu terasa.

Ayah masih melutut lama. Dia memandang kosong tubuh gempal yang sudah semakin dimamah usia. Sungguh, dia selalu keliru mengenal erti sebuah kehidupan. Mengapa manusia begitu aneh untuk difahami? Sama sekali dia tidak mahu menyalahkan takdir, dia terlalu yakin, setiap yang berlaku terungkap hikmah yang tidak diketahui.

Hari itu, dia akan meninggalkan tanah air buat pertama kalinya, merentas lautan dan angkasa ke sebuah negara pesisir pantai yang selama ini sentiasa dia idamkan. Sungguh, dia bukan mahu melarikan diri, namun dia sendiri tidak pasti sejauh mana dia mampu untuk berdepan menghadapi setiap kenangan pahit.

Dia yakin untuk memberikan cabaran pada diri dan kembali menghitung tiap detik yang berlalu, mencari hikmah yang tersembunyi dan kekuatan yang diperlukan. Dia mendekati ayah, senyuman tawar terukir. Dia lihat wajah ayah yang semakin tua. Hatinya jadi simpati. Mengapa mesti ayah memilih jalan ini?

“Saya pergi dulu,” tangan ayah dikucup dan dia terus bangun dan melangkah tanpa sekali pun menoleh.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Selesai membersihkan diri, coklat yang dibawa dari Malaysia menjadi santapan makan malam. Dia sendiri tidak pasti untuk merasa kesal atau tidak kerana tidak membawa makanan yang lebih berat. Mengenangkan beg yang sudah sedia terasa berat untuk disandang, dia hanya mampu memujuk diri untuk bersabar. Sungguh, dia sendiri yang memilih semua ini.

Sendirian di sebuah kota metropolitan yang hanya dikenal melalui drama dan filem cukup membuatnya buntu terus-menerus. Tambah lagi dia tidak pernah punya pengalaman mengembara ke mana-mana tempat luar dari negaranya. Dia merebahkan diri ke atas alas tidur setebal dua inci. Mengapa orang di negara matahari terbit ini begitu selesa tidur hanya beralas ‘comforter’? Hatinya bertanya sendiri. Keras lantai terasa dibelakang. Dia senyum sendiri, di Malaysia juga dia selalu tidur seperti itu jika bermalam ke rumah saudara. Kepenatan menghilangkan rasa kurang selesa itu, dan dia terlena dibuai mimpi indah di tengah-tengah kota Tokyo yang masih hidup dengan penghuninya yang masih punya pelbagai urusan.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“Dari Malaysia,” dia rasa ingin melompat kegembiraan bila soalan dalam bahasa melayu itu dijawab anggukan oleh pemuda berwajah asia tenggara itu. Dia tersenyum senang sambil memperkenalkan diri.

“Faizal,” pemuda itu turut tersenyum sambil tunduk hormat persis gaya orang jepun. Teragak-agak, dia turut menunduk. Dia masih tersenyum, kelu seketika untuk memulakan bicara.

“Sendirian?” Faizal bertanya pendek namun riak wajahnya yang ramah cukup menyenangkan. Dia mengangguk dan teragak-agak untuk turut bertanya soalan yang sama.

“Berani sungguh seorang perempuan datang sendirian,” dia jadi kelu dengan ungkapan itu. Adakah itu pujian atau sindiran? Dia cuba berteka-teki pada diri.

“Cik Amira?” dia tersedar, pemuda itu masih di hadapannya. Merenung hairan dengan tingkahnya.

“Oh, maafkan saya, Encik Faizal tanya apa tadi?” Faizal tertawa kecil dan dia terpinga-pinga memahami tingkah pemuda itu.

“Tiada apa. Apa kata kita berjalan bersama. Kebetulan kita sama-sama tiada teman,” dia terus mengangguk dengan pelawaan itu. Faizal sekali lagi tertawa, namun sebentar cuma tapi bibirnya masih mengukir senyum.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“Mira,” dia berpaling. Dia tersenyum riang melihat kehadiran lelaki itu. Dia berdiri tegak menanti lelaki itu melangkah mendekati.

“Terima kasih sebab sanggup datang ke Tokyo,” Amira meluah bicara sebaik lelaki itu berdiri tegak di hadapannya. Tawa lelaki itu pecah berderai. Amira mengerutkan wajah, aneh melihat lelaki itu tertawa besar dengan bicaranya.

“Bukankah aku yang patut ungkapkan seperti itu?” lelaki itu meluah bicara bila tawanya reda. Amira merenungnya, masih tidak mengerti.

“Sungguh, kau masih lembab seperti dulu. Bukankah aku yang patut ucapkan terima kasih atas kehadiran kau dari Malaysia ke sini?” Amira mengukir senyum mengerti.

“Kalau begitu, sama-sama,” Amira membalas bicara lelaki itu dengan nada gurauan. Mereka tertawa senang. Ah, keriangan! Terlalu banyak detik bahagia, mengapa yang duka juga menguasai diri?

“Kenalkan ini Faizal, aku baru berkenalan dengannya kelmarin. Kami tinggal di hotel yang sama. Kebetulan kami masing-masing bersendirian di tengah Tokyo yang penuh kesibukan ini. Faizal, in sepupu saya, Anuar,” Amira saling memperkenalkan dua pemuda itu. Faizal dan Anuar saling berjabat sambil bertukar senyuman.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“Ibu dah meninggal,” Amira akhirnya berbicara setelah lama mereka melangkah dan melawat dari satu tempat ke satu tempat. Anuar berpaling, merenung wajah cekal gadis itu. Faizal turut tergamam dengan kata-kata itu.

“Aku sendiri tidak tahu apa yang perlu aku lakukan selepas ini,” Amira melabuhkan punggung di atas sebuah bangku yang tersedia. Pandangan dilempar kepada manusia-manusia yang melangkah pantas dengan kot labuh mereka. Barangkali menuju tempat kerja, dia berbicara sendiri.

“Aku bersimpati,” Anuar meluah bicara sambil mengambil tempat di sisi Amira. Amira berpaling ke arah Anuar. Dia ukir senyuman dan menggeleng.

“Aku tak perlukan simpati. Aku sudah terlalu dewasa untuk merasa duka menjadi piatu. Kematian itu pasti bukan?” Amira terus bicara.

“Yeah, apa kata kalau kau sambung pengajian di sini?” Anuar memberi cadangan. Amira tertawa kecil sambil mengangkat bahu. Dia bingkas bangun dan melangkah mendahului dua lelaki itu. Faizal yang sedari tadi memerhati, memandang Anuar meminta penjelasan. Anuar menarik nafas berat sambil mengekori langkah Amira dengan pandangan mata.

“That’s my cousin,” Anuar berbicara seakan mengeluh. Mereka melangkah perlahan beriringan, menurut jejak Amira yang melangkas sedikit pantas. Faizal merenung gadis melayu di depannya. Ada yang menarik melihat gadis sepertinya yang datang sendirian di bumi asing ini.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Amira merasa betapa angin di negara matahari terbit ini ringan dan kering, namun kedinginan begitu mencengkam. Beberapa kali dia memperkemaskan balutan baju panasnya. Indah namun hingar. Itulah pandangannya terhadap bandaraya yang telah menawan hatinya lama dahulu dari kaca elektronik dan helaian beraksara.

“Mengapa Tokyo?” Faizal pernah bertanya ketika dia berjalan-jalan di tengah-tengah bandaraya metropolitan itu. Dia diam sejenak, memandang pemuda berkulit sawo matang itu beberapa ketika dan mengukir senyuman sebelum memberikan jawapan.

“Kerana saya gemarkan filem yang negara ini hasilkan,” Amira menjawab ringkas sambil tersenyum sendirian. Merenung asyik pada bangunan-bangunan dan jalan-jalan yang dipenuhi manusia di setiap penjuru.

“Filem?” Faizal memandang ke arah gadis di sisinya. Gadis itu manis bertudung hitam dan baju panasnya yang berwarna merah jambu itu ada karakter kartun kucing ‘Hello Kitty’ di dada kanan. Gadis itu terlalu feminin untuk sendirian dalam pengembaraan.

“Filem yang memaparkan diri mereka yang sebenarnya. Kemodenan yang dikecapi yang semakin menghakis nilai tradisi namun sedaya-upaya masih cuba ditonjolkan. Ya, tentu saja nilai-nilai murni masyarakatnya yang mengagumkan setiap bangsa yang mengenalinya,” Amira cuba memberi huraian. Dia memandang Faizal yang setia mendengar sekilas sebelum menyambung kata-kata.

“Seakan mereka berjaya menanamkan propaganda agar masyarakat dunia lebih memandang tinggi mereka bukan?” Amira tersenyum sendiri, mentertawakan kenaifan diri. Faizal turut tersenyum dengan sindiran selamba Amira terhadap diri sendiri.

“Saya juga terpengaruh dengan seni manga dan teknologi anime mereka,” Faizal membalas spontan. Betapa dia sedar betapa melalui kesenian yang ditawarkan, masyarakat dunia justeru tertawan oleh mereka.

Amira tertawa sendiri mengenangkan perbualan ringkas itu. Tentu saja media adalah wadah paling berkesan mempengaruhi dunia. Itulah yang dilakukan setiap negara dalam melancarkan ideologi dan pemikiran masing-masing.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“Bagaimana cadangan aku agar kau meneruskan pengajian di sini?” Anuar bertanya tiba-tiba. Waktu itu mereka sedang menyusuri kaki-kaki lima melihat kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barang di tengah kesibukan kota Tokyo. Amira masih leka membelek-belek beberapa buah pantung elektronik yang unik. Barang permainan anak-anak yang begitu canggih. Amira lantas terkenang Alia, gadis kecil yang diperkenalkan Ayah. Pasti Alia senang menerimanya. Amira bercadang untuk membeli satu.

“Mira,” Anuar memanggil perlahan namanya bila dilihat Amira seakan tidak mempedulikan pertanyaannya.

“Aku masih ada kontrak di Malaysia,” Amira masih ralit dengan patung-patung yang comel itu. Rambang mata untuk memilih yang mana satu.

“Bagaimana dengan ini? Okay tak?” Amira mengangkat sebuah patung berwarna merah jambu di depan wajah Anuar sambil menggoyang-goyangkannya. Anuar tersenyum sambil mengambil patung yang comel itu.

“Masih tidak berubah, masih dengan merah jambu,” Anuar tersenyum perli. Amira tersipu sambil menarik kembali patung itu dari tangan Anuar.

“Untuk Alia,” Amira bersuara perlahan sambil berlalu menuju kaunter bayaran. Anuar berkerut, ada sesuatu yang sukar dia fahami di situ. Anuar menanti Amira di luar kedai sambil meneka-neka sendiri maksud bicara Amira.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“Jadi awak melarikan diri ke sini?” Faizal terburu-buru membuat andaian. Anuar dan Amira serentak memandang lelaki yang baru mereka kenali itu. Amira tunduk dan tersenyum pahit.

“Mira dah lama mahu ke sini, hanya mengumpul dana. Bukan?” Anuar menjadi wakil Amira menjawab tuduhan Faizal dengan nada berlucu mengurangkan ketegangan yang melanda.

“Oh, jadi dari mana datang dana itu?” sekali lagi Faizal seperti orang dungu bertanya. Tapi itu bukan persoalan bodoh kerana sejak dari awal pertemuan lagi Anuar ingin bertanya soalan serupa. Kedua-dua lelaki itu sama-sama menumpukan pandangan ke arah Amira. Amira terdiam sejenak dan bagai terpaksa mengukir senyuman.

“Dari pampasan insurans Ibu,” Amira bersuara ragu-ragu sambil tersengih memandang Anuar dan Faizal. Tiba-tiba dia merasa sebak dan air mata mulai bertakung di tubir mata. Amira mengerdipkan mata beberapa kali sambil terus tersenyum.

“Ada hikmah pada setiap kejadian bukan?” Faizal berbicara lambat-lambat sambil merenung dalam-dalam wajah gadis manis di hadapannya. Dia lantas menghulur sapu tangan kepada Amira. Amira tersipu-sipu menarik sapu tangan itu dan mengesat matanya.

“Ya, bukankah kehidupan adalah layar filem atau kotak cerita yang kita tonton dan terpesona yang kemudiannya kita ambil pengajaran daripadanya,” Amira meluah kata dan tersenyum memandang Faizal dan Anuar silih berganti. Faizal tersenyum cuba memberi kekuatan pada gadis itu. Anuar hanya membisu, sungguh dia sendiri tidak pernah menyangka jalan hidup Amira boleh menjadi seperti itu.

“Aku masih sukar untuk percaya segala yang telah berlaku, Mira. Kadang-kadang aku merasakan masa terlalu pantas berlalu dan baru semalam aku melihat kau bersama Pak Cik dan Mak Cik bertandang ke rumah. Dan kita akan riang bertemu sambil rancak bercerita tentang permainan yang baru dimiliki. Aku masih terkenang kau berambut tocang. Comel sekali,” Anuar meluah kata-kata. Dia turut merasa sebak sendiri. Amira mengetap bibir menahan tangis mendengar kata-kata Anuar.

“Terima kasih Nuar, sebab menemani zaman kanak-kanak aku. Sungguh, ia sangat bermakna memiliki kenangan zaman kanak-kanak yang begitu indah. Namun aku sudah dewasa dan kita sama-sama sudah dewasa. Biarlah kenangan itu kita pegang sambil terus mengukir pengalaman baru untuk dijadikan kenangan pula di hari tua,” Amira berbicara optimis. Anuar tertawa kecil dan mengangguk-angguk. Faizal cuma memerhati sambil tersenyum senang.

Langit Tokyo begitu kelam. Tiada sebutir kejora pun yang menunjukkan wajah. Mereka tidak tidur malam itu. Berbual hingga ke subuh pelbagai kisah zaman lampau mahupun perancangan masa depan. Pertemuan teman lama dan teman baru memang begitu manis untuk dikongsi.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“Ini untuk Alia,” Anuar menghulurkan kotak yang berbalut kemas. Amira memandang dengan lirikan mengusik.

“Katakan pada dia ada abang kacak dari Jepun yang beri,” Anuar tersenyum miang. Amira sekadar mencebik dan menarik muka dengan gurauan Anuar. Amira berlalu mendepani Faizal. Pemuda itu baru dikenali. Namun keasingan diri sebagai bangsa yang datang dari rantau yang sama menjadikan mereka tidak asing antara satu sama lain.

“Arigato na,” Amira menahan air mata yang mahu menitis dan tunduk seperti gaya Jepun. Faizal tersenyum senang turut menunduk.

“Jumpa lagi. Saya gembira bertemu awak di sini. Harap kita akan bertembung lagi di Malaysia,” Amira menyapu air mata yang membasahi pipi sambil terus menguntum senyuman. Faizal sekadar tersenyum dan mengangguk.

“Pulang ke Malaysia bila sudah tamat nanti. Negara perlukan genius seperti kau. Jangan bazirkannya di bumi yang sudah melimpah dengan kepandaian ini,” Amira mengungkap bicara pula buat Anuar. Dia memandang tepat wajah sepupunya yang pasti akan dirindui. Anuar cuma tersengih dan mengangguk mengerti.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Pesawat penumpang yang memuatkan lebih 500 penumpang dan anak kapal itu membelah awan menuju ke destinasinya. Negara kepulauan Jepun sudah terhapus dari pandangan. Amira bersandar selesa mengimbas kembali pengembaraannya di salah sebuah bandaraya termoden dunia.

Sungguh mengasyikkan merempuh lautan manusia dan hutan batu Tokyo namun hatinya masih merindui Kuala Lumpur. Udara, langit, mentari dan kehijauan Kuala Lumpur memang tiada bandingan. Barangkali singgah sebentar sebagai musafir itu perlu untuk mengubah angin dan menikmati persekitaran baru.Namun, terus bermastautin, sungguh Amira tidak kuat untuk melalui kehidupan yang begitu asing itu.

Keindahan dan pesona Jepun hanya laku memenuhi kotak-kotak cerita baik drama, filem, komik mahupun animasi. Namun, apalah bisa menghargai indahnya budaya yang begitu asing sedang naif dan dungu pada budaya bangsa sendiri. Benar Amira masih punya kontrak untuk bekerja setelah tamat pengajian di universiti. Namun, itu bukanlah alasan utama dia menolak cadangan Anuar untuk melanjutkan pengajian di negara idamannya itu sekian lama. Beberapa hari di Tokyo membuatnya banyak merenung dan menimbang. Dia sedar hatinya masih di Malaysia biarpun bumi itu menyimpan seribu satu kisah duka namun di tanah itu juga tertanam segala memori indah yang dilaluinya.

Amira terfikir betapa mungkin satu hari nanti akan ada warga Jepun sepertinya, mendamba sekian lama untuk menjengah Malaysia. Dia menyedari betapa merasainya sendiri dan menonton di kaca televisyen itu ada berbeza namun dia puas menghayati dan menikmati pesona itu sendiri. Merasai sesuatu yang selama ini hanya terhad pada pancaindera tertentu. Dia mahu Kuala Lumpur turut digambarkan sebegitu hingga berduyun masyarakat dunia berasa teruja untuk mengujunginya.

Amira tersenyum sendiri melayan angan di pedu minda. Dia akan tiba di Kuala Lumpur. Menamatkan pengajian dan bekerja di sektor awam seperti dalam kontrak biasiswanya. Pastinya dia tidak punya banyak masa untuk itu semua. Malah dia sendiri tidak punya bakat dalam urusan seni ini. Dia tersenyum menyindir diri. Amira memejam mata.

‘Selamat tinggal Tokyo, terima kasih atas kejujuran yang kau paparkan kepadaku hingga aku sedar betapa aku cinta tanah airku,’ Amira mendesis dalam hati dan terlena di buai mimpi kenangan-kenangan indah di Tokyo. Pesawat terus merentas langit.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

‘Aku berlari ke Kuala Lumpur’. Itulah tajuk drama terbaru yang memaparkan jalan cerita seorang gadis Jepun yang membawa diri ke Kuala Lumpur kerana masalah keluarga. Drama usaha sama dua syarikat penerbitan dari Tokyo dan Kuala Lumpur itu tidak pernah Amira ketinggalan untuk menonton saban malam. Untung saja ia ditayangkan pada waktu malam hari bekerja. Kalau di siang hari pasti dia tidak berkesempatan untuk menonton.

Kisah itu seringkali mengenangkan peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu. Ya, seakan-akan gadis Jepun itu jelmaan dirinya. Bezanya dia gadis melayu yang melarikan diri ke Tokyo. Waktu itu dia tertekan dengan kematian Ibunya yang terlibat dalam kemalangan setelah mengetahui Ayahnya telah berkahwin lain malah sudah punya anak perempuan berusia lima tahun waktu itu. Duka yang terguris serta keinginan yang meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke Tokyo membuatkan dia menggunakan sebahagian besar wang pampasan insuran Ibu untuk perbelanjaan ke sana.

Amira kembali bersama semangat dan azam baru. Sungguh dia sendiri tidak pasti adakah pesona Tokyo atau onak duri pengembaraan membuatkannya sedar betapa kehidupan perlu diteruskan. Dia kembali ke kampus, menamatkan pengajian dan kini sudah hampir setahun dia bergelar tutor di sebuah institut pengajian tinggi awam di Kuala Lumpur. Malah dia sudah berkira-kira untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Dia berfikir untuk mengembara lagi. Barangkali ke sebelah barat dunia pula kali ini. Kembali Amira bermimpi namun kali ini dia yakin untuk merealisasikannya.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Kata orang, Belanda negara paling adil di dunia. Di The Hague terletaknya mahkamah keadilan dunia. Di negara ini demokrasi dan kebebasan tertegak setegak-tegaknya hingga kadang-kala melampaui batas. Amira pernah mendengar bahawa Belanda juga negara pertama yang mewujudkan kebebasan untuk perkahwinan di antara jantina yang sama.

Sungguh, jika lama dulu pertama kali merentas lautan dia menuju negeri indah yang mempesonakannya sekian lama. Namun, kali ini dia mengujungi sebuah negara yang baginya mempunyai reputasi buruk dalam sejarah peradaban dunia. Barangkali kebenaran dapat dia nikmati sendiri kerana bukanlah dia untuk menilai dari kaca mata luar semata-mata. Dia hanya akan benar-benar memberikan pandangan bila telah melaluinya barulah tulus tanpa cenderung dan condong ke mana-mana.

Indahnya tanah Holland ini adalah bunga-bungaannya. Sengaja dia memilih musim bunga untuk membuat kunjungan kali pertama. Pastinya keindahan itu bisa menjadi kenangan terindah kerana kalau boleh dia tidak mahu mengukir mimpi buruk di bumi asing.

Menikmati tulip dan lily yang pelbagai warna dan bentuk memang mendamaikan. Udara yang nyaman dan dingin itu turut mencipta kelainan. Amira melepaskan pandangan pada ramainya pengunjung yang turut sama menikmati keindahan flora itu. Keramaian itu sedikit pun tidak menggugat ketenangan. Amira tersenyum senang.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

“Amira,” spontan Amira berpaling. Dia terpegun. Lelaki itu tampan berkaca mata dengan kot kulit cokelat cair dan mafela merah jambu melilit leher. Amira mengerut kening melihat mafela merah jambu itu.

“Tak sangka jumpa awak di sini,” Faizal sudah berada tepat di hadapan Amira hanya berjarak beberapa inci sahaja. Amira tersenyum senang. Sungguh dia sama sekali terkejut dengan pertemuan itu. Kali kedua ke luar negara, dia bertemu lelaki yang sama semasa kunjungan pertama. Bezanya negara yang dilawati berbeza sekali dari yang dulu. Seakan berjodoh, anehnya mereka tidak berjodoh di tanah air sendiri.

“Seperti berjodoh kita,” Faizal dan Amira bersuara hampir serentak. Mereka berhenti melangkah dan saling berpandangan dan pecah ketawa antara mereka.

“Ya, cuma kita tidak berjodoh di Kuala Lumpur,” Amira menyambung setelah ketawa mereka mulai reda. Faizal mengerutkan dahi dan mengangkat bahu.

“Memang aneh bukan? Kadang-kala hidup memang sukar untuk diduga,” Faizal mengungkap bicara pula sambil melabuhkan punggung di sebuah bangku rehat. Amira menurut, mengambil tempat di sisi lelaki itu. Lelaki itu jarang-jarang diingati namun melihatnya kini membuatkan dia seakan terbayang-bayang kenangan lampau yang pernah dilalui bersama.

“Mengapa pandang saya begitu?” Amira terkesima, pantas mengalih pandangan. Dia tersipu sejenak sebelum kembali menenangkan diri. Faizal tertawa kecil.

“Awak masih seperti dulu. Lima tahun langsung tidak mengubah awak rupanya,” Faizal berbicara seakan menyindir. Amira menarik muka dan pura-pura merajuk.

“Saya cuma hairan dengan warna mafela awak. Seakan tidak sesuai saya kira,” Amira menjeling mafela merah jambu itu. Faizal tersenyum sambil menanggalkan mafela itu.

“Awak fikir merah jambu hanya sepadan untuk awak?” Faizal seakan memerli. Amira terdiam, dia mahu membalas tapi dia seakan hilang bicara. Faizal tersenyum dengan tingkah Amira. Lantas di membalut leher Amira dengan mafela itu. Amira tergamam dengan perlakuan Faizal.

“Memang hanya sepadan pada awak. Saya pakai sekadar menjadi sumber inspirasi,” Faizal meluah kata-kata dan bangkit dari bangku lalu melangkah perlahan sambil pandangan tertebar melihat warna-warni kuntuman bunga. Amira terpinga-pinga sejenak sebelum turut bingkas mendekati lelaki itu dengan seribu satu pertanyaan untuk di luah.

“Faizal, apa maksud awak?” Amira bertanya serius. Sambil melangkah dia memandang tajam lelaki itu. Faizal cuma tersenyum dan diam menikmati keindahan taman. Amira tidak tenang menanti jawapan. Tapi dia juga seakan segan untuk mengulang pertanyaan.

“Kenapa awak di sini?” tiba-tiba Faizal bertanya. Amira terdiam, lama pertanyaan itu turut terbiar.

“Saya kira awak melarikan diri lagi. Barangkali dari sebuah perkahwinan kali ini,” Faizal menjeling wajah masam gadis itu. Amira masih bisu. Malas pula mahu melayan lelaki itu. Biarkan dia pula ternanti-nanti.

“Merajuk? Saya fikir rajuk awak akan hilang di negara orang,” Faizal masih galak mengusik. Amira menjeling tajam.

“Saya sambung belajar,” akhirnya Amira mengalah. Faizal mengerutkan wajah.

“Betul?” Faizal bertanya meminta kepastian.

“Iyalah, kenapa?” Amira aneh melihat reaksi Faizal. Faizal seakan sedar dia terlalu beremosi. Segera dia tersenyum.

“Saya sangka awak hanya selesa menuntut di Kuala Lumpur,” Faizal memerli lagi. Amira tersenyum.

“People change,” Amira membalas pendek. Faizal menganggukkan kepala beberapa kali. Amira aneh dengan tingkah Faizal. Dia merenung lama ke arah lelaki itu.

“’Mengejar Mimpi di Kuala Lumpur’, apa pandangan awak tentang tajuk itu?” Faizal tiba-tiba bersuara. Amira mengerutkan dahi.

“Seperti ‘Aku Berlari ke Kuala Lumpur’,” Amira bersuara perlahan. Faizal memandang wajah hairan Amira.

“Awak menonton cerita itu?” Faizal menyoal pendek. Amira mengangguk.

“Cerita yang indah. Saya seakan menonton drama Jepun yang dibikin di Kuala Lumpur. Menariknya diterbitkan produksi tempatan walaupun dengan kerjasama produksi dari Jepun. Apa yang membanggakan pengarahnya orang melayu. Namun, apa yang mencuit hati saya jalan ceritanya seakan-akan...” Amira terhenti dan merenung Faizal di sisi yang tersenyum lebar.

“Amira, awak benar-benar sumber inspirasi,” Faizal menatap wajah gadis itu dengan senyuman. Amira hanya membisu, sama sekali dia masih sukar untuk mempercayai.

“Awak Faizra, pengarah itu? Saya sangka awak perempuan,” Amira bersuara lambat-lambat. Faizal cuma tersenyum dan terus mengatur langkah menyusuri taman bunga yang indah itu.

Amira tersenyum sendiri memerhati belakang lelaki itu melangkah tenang menikmati damai alam. Entah mengapa dia diserbu rasa terharu. Dia memngedipkan mata berkali-kali. Saat itu di terkenang Faizal pernah menghulurkan sapu tangan semasa dia menagis di Tokyo dulu. Dia meraba leher. Mafela merah jambu masih tersemat kemas di situ. Amira tersenyum sendiri dan mula melangkah pantas mendekati lelaki itu.

Ukiran Mimpi,

Amal Mina

26 Mei 2009

1.05 AM

0 Celoteh SahabatKu... on "Ku Berlari Ku Kejar Mimpi"

Catat Ulasan

Dari sahabat...

 

Epilog Hearty Copyright 2009 Sweet Cupcake Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez