Ahad, Januari 22, 2012

Dalam Hatinya Siapa Yang Tahu...

Oleh si comot [Ana] Farhana.... Jam 7:33:00 PG
Pandangan Anda : 
Kerap yang diperhatikan manusia adalah kegembiraan zahiriah. 
Namun keretakan sekeping hati itu siapa yang tahu?

Biasanya apa yang terzahir, itulah yang manusia akan imani.

Dalam kehidupan, pasti kita bertemu dengan ramai orang. Macam-macam tafsiran yang boleh dibuat berdasarkan apa yang terzahir di depan mata. Orang itu begini, orang ini begitu. Ada saja tamsilan yang boleh dibuat dengan sekilas cuma.

Dan saya, saya tertarik untuk belajar daripada manusia yang ditimpa masalah dan bebanan yang banyak, tapi tetap selamba dan biasa-biasa meneruskan kehidupan seharian. Sepertinya dirinya tidak punya apa-apa masalah. Segala fitnah dan tohmahan oleh masyarakat sekeliling, tidak dihiraukan jika tiada kepentingan untuk dibahaskan.

Hei, tidak mudah untuk berlapang dada meneruskan kehidupan setelah ditimpa ujian dan dugaan yang banyak. Kan? Mengaku sajalah. Malah kadang-kadang, hatta diberi motivasi yang macam-macam pun, tidak menusuk ke hatinya kerana asyik memikirkan masalah yang timbul dalam hidupnya. Biasa, kita manusia biasa.

Maka saya jadi terfikir. Ya saya lihat orang seperti yang dinyatakan tadi kelihatan begitu tabah. Tetap tersenyum mesra dengan sesiapa hatta dengan orang yang menyakiti hatinya. Begitu bodohkah dia untuk bersabar selepas maruahnya seperti dipijak-pijak dengan rakusnya melalui fitnah? Hai Rabbaa!

Dari jauh memerhati; dalam hati kecilnya itu, siapa yang tahu sakitnya!


Siapa Tahu Isi Hatinya

Waktu ini, saya cuba menerobos alam.

Pada waktu yang sunyi sebegini, siapa tahu di suatu tempat, di dalam sebuah bilik, di suatu sudut, terdapat seseorang yang menanggung beban ujian yang berat dan banyak. Semasa menjalani hari siangnya, mungkin saja dia kelihatan antara orang yang tabah mempamerkan riak wajah yang menyenangkan. Tetapi, semasa solatnya, baru sahaja takbiratul ihram, sudah berliter-liter airmata yang mengalirkan tanpa paksaan.

Dia berusaha tabah di hadapan manusia bukan kerana mahu mendapat pujian. Tapi kerana dia tidak mahu mengumpil simpati. Dia tidak mengadu kepada semua orang, bukan kerana dia ego menahan sendiri. Tapi dia tahu, apa yang sedang dilaluinya hanyalah ujian dari-Nya. Sebab itu apabila menghadap Tuhan Yang Esa, airmatanya mencurah-curah mengadu dan memohon kekuatan untuk menempuh segalanya.

Pun begini bayangan yang saya dapat, saya masih belum tahu sebenar-benarnya kondisi hatinya. Mungkin kita cuma boleh melahirkan rasa empati. Namun tidak akan pernah sesekali merasa sebagaimana yang dirasainya. Betul?

Kita tidak tahu di waktu begini, ada seseorang yang bergelar pelajar bersengkang mata menyiapkan tugasan yang terlalu banyak, mengulangkaji pelajaran kerana musim peperiksaan akan bertandang tidak lama lagi. Dalam rasa hampir berputus-asa dengan semua itu, ada yang menjadi tunjang kekuatannya; ibu dan ayah di rumah.

Kerana wajah kasih yang terbit di ingatan, terbit sebuah kekuatan dalam kepayahan. Baginya, dia mesti tabah untuk meneruskan perjuangan. Dia kena tamatkan apa yang dia mulakan meskipun sering berendam airmata dengan kerenah manusia di sekeliling. Dia harus menjaga segala-galanya; hubungan dengan ALLAh Ta’ala, dan menjaga pergaulan sesama manusia hatta di alam maya sekalipun.

Siapa yang tahu isi hatinya yang sebenar-benarnya? Hanyalah Dia!

Di saat ini, mungkin saja ada ahli kepada sebuah keluarga yang sedang nazak. Ahli keluarga yang lain menanti saudaranya pergi dengan aman menghembuskan nafas terakhir. Hatta jiwa bagai dirobek-robek kerana tidak sanggup untuk berpisah, namun kerana merasa diri itu sebagai hamba yang percaya kepada ketentuan takdir ALLAh Ta’ala, harus merelakan pemergian ahli yang sedang nazak jika itu adalah yang terbaik.

Bukan mudah melepaskan seseorang yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Dan tiba-tiba, harus menerima kenyataan bahawa rumahnya yang seterusnya adalah sebuah liang lahad. Bertilamkan dan berbantalkan tanah, di dalam kegelapan dengan pelbagai haiwan yang ada. Sendirian tidak berteman melainkan amal semasa di dunia.

Nastaghfirullahal’adzim.
Bagaimanakah tanggungan hati terhadap situasi-situasi di atas?

Sekali lagi, mungkin kita boleh membayangkan pelbagai situasi yang meruntun jiwa. Juga boleh melahirkan rasa empati serta merta. Tapi kita tidak akan pernah tahu dengan setepat-tepatnya, apa rasa yang terkubur dalam hati kecil seseorang itu.

Kan?

Lihat Diri Kita Sendiri

Memang ALLAh Ta’ala berikan ujian yang berlainan pada setiap hamba-Nya yang ada di muka bumi ini. Walaupun kelihatan ada yang sama, tentulah rasanya berbeza kerana perbezaan latar belakang keluarga, tempat dan masa memainkan peranan penting terhadap ujian yang ALLAh turunkan. Tidak akan pernah sama!

Melihat kepada diri sendiri. Walaupun kita berada dalam jasad yang ada sekarang, kita dipinjamkan dengan seketul hati dan sebuah jiwa yang dengannya kita hidup sekarang, tapi kerap kali kita juga sering keliru dan tidak tahu dengan kondisi hati kita sendiri.

Betul?

Dalam riak wajah ini, kita mungkin boleh berlakon ceria dengan tersenyum mesra. Dengan suara yang ada ini, kita mungkin boleh bergelak tawa bersama keluarga, sahabat dan rakan-rakan yang ada. Padahal, tanpa orang sekeliling ketahui, hati kita sedang menangis, menangis dan menangis.

Tiada manusia mendengar tangisan hati kita, kadang-kadang. Kalau ada pun sahabat yang merasai kesuraman jiwa kita, sungguhpun kita berkongsi rasa hati, pasti dengan kelemahannya yang ada sebagai manusia biasa, dia tidak dapat memahami sepenuhnya. Tetapi, sekurang-kurangnya sahabat tadi itu ada untuk mendengar cerita hati yang tidak seberapa. Bersyukur atas rasa kebersamaan itu.

Saat merasa hati tidak berupaya menanggung derita, benar-benar wujud satu harapan besar dan mendalam. Lalu kita mendongak langit di suatu tempat dengan bersendirian, mengadu dengan sangat-sangat kepada Tuan Punya Dunia..

“Wahai Tuhanku, jangan biarkan aku lemah pada segala dugaan-Mu. Jangan biarkan aku kalah sebelum berhabis-habisan berjuang dengan kudrat yang Engkau berikan. Biarkan aku menjadi seorang hamba-Mu yang tetap berdiri hatta dihambat ujian seribu. Wahai Tuhanku, berikanlah ketenangan jiwa kepadaku. Jangan Engkau biar aku hidup dengan keresahan jiwa semata-mata dunia….”

Airmata laju mengalir. Bukanlah airmata itu mengalir kerana marahkan Tuhan. Tetapi airmata itu mengalir kerana merasai kelemahan diri, tidak berupaya. Mengakui bahawa diri penuh dosa dan lalai dengan segala yang ada di dunia. Tidak dipaksa untuk mata menangis, tanda mahu mengadu kepada Dia Yang Maha Tahu.

Sungguh, hanya orang yang kembali kepada Tuhan,
beroleh kekuatan dan ketenangan jiwa.

Bukanlah ALLAh Ta’ala itu zalim terhadap kita dengan membiarkan kita merasai kesakitan yang ditanggung sekarang ini. Namun cubalah hisab diri, dan pandanglah sekilas kepada masa-masa yang telah berlalu serta tanyalah diri sendiri, dosa apakah yang sering kita anggap ringan. Dan perbuatan apakah yang kita merasa tidak diperhatikan oleh Yang Maha Memerhati?

Hati ini, sangat berbolak-balik. Kerana itu perlu sentiasa dekat dengan Tuhan!

Bukan kerana kebencian,
cuma memberi secebis kesedaran,
untuk saya yang penuh dosa,
untuk anda yang dikasihi ALLAh.

Semoga ALLAh merahmati...

Sumber : http://cintailahi.com/tazkirah/dalam-hatinya-siapa-yang-tahu/

0 Celoteh SahabatKu... on "Dalam Hatinya Siapa Yang Tahu..."

Catat Ulasan

Dari sahabat...

 

Epilog Hearty Copyright 2009 Sweet Cupcake Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez