Khamis, Januari 26, 2012

Kisah Syeikh Ibrahim Adham & 10 Tanda Hati Mati...

Oleh si comot [Ana] Farhana.... Jam 9:35:00 PG
Pandangan Anda : 
Assalamualaikum wbt...


Alhamdulillah, usai beberapa hari bercuti di rumah. Petang tadi usai ayahanda terchenta balik dari bekerja. Kami sekeluarga bergerak menuju ke UPM. Singgahsana kedua Hana selepas baiti jannati di Batu Pahat.

Kembalinya ke UPM adalah untuk meneruskan jihad ilmu yang sudah sedia menanti. Allahurabbi, andai sahaja Batu Pahat itu dekat. Setiap hari pasti kaki ini melangkah balik untuk bersama usrati terchenta.. =')

Alhamdulillah, perjalanan menuju UPM tidak sekosong yang disangka. Tazkirah maghrib di radio IKIM.fm benar-benar mengisi jiwa. Subhanallah, jika suatu ketika dulu payah untuk kami membuka siaran IKIM.fm apatah lagi mendengarnya. Namun, hari ini, Allah telah membuka lembaran demi lembaran pada hati-hati kami sekeluarga untuk sentiasa mengisi jiwa dengan juadah rohani. Syukur padaMu Wahai Allah Yang Maha Kaya... =')

Pengisian kualiah maghrib di IKIM.fm berkisar tentang kisah Syeikhul Ibrahim Adham & pesanan beliau mengenai 10 Tanda Hati Mati. Dibawah ini Hana sertakan kisah lengkap & pesanan-pesanan yang disampaikan oleh beliau. Moga bermanfaat buat renungan kita bersama. Tabarakallah...



Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.


Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10.Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

0 Celoteh SahabatKu... on "Kisah Syeikh Ibrahim Adham & 10 Tanda Hati Mati..."

Catat Ulasan

Dari sahabat...

 

Epilog Hearty Copyright 2009 Sweet Cupcake Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez